Thursday, February 26, 2015

Sari kata-kata hikmah

Kita tidak perasan akan benda disekelilig kita. Ia berada dihadapan kita setiap hari. Sungguh dekat tapi kita tak perasan!
Bila kita perasan, maka berkata pada diri, "macam mana selama ini boleh aku tak perasan kehadirannya?, sangat dekat di hadapanku". Moga-moga ia tidak terlambat .

Wednesday, January 7, 2015

Cerpen 1 : Kalam Hikmah

Tajuk : Kalam Hikmah
Penulis : Hafizuddin Mustapa

“Din!” Farid memanggil namaku dari jauh. “Tak pergi rehat ke?” ,tanya si Farid, rakan pejabatku. “Dok kot, mu gi dulu la, aku bowok bekal hari ni”,lalu dia melulu ke pintu keluar dengan rakan-rakan yang lain. Begitulah gelagat rakanku, soalan sama ditanya setiap hari, walaupun dia sudah tahu jawapanku. Tetapi, manalah tahu suatu hari aku terlupa bawa bekal kan? Ada logik juga perbuatan Farid tu.

Masih kenyang rasanya. Kata suara hatiku sambil memandang bekal yang dibuat isteriku di atas meja. Lalu kubuka laci meja kerjaku dan mencapai buku kesayanganku iaitu sebuah diari usang tetapi menyimpan seribu cerita tentang perjalanan hidupku suatu ketika dulu. Sudah menjadi kebiasaanku, pada waktu-waktu rehat begini, aku suka membelek-belek helaian diari lamaku. Kata orang, belajarlah dari semalam dan peristiwa yang semalam akan berulang dan berulang tanpa kita sedari. Itulah resam dunia. Mungkin suatu peristiwa itu berbeza tapi asbabnya tetap sama iaitu untuk menguji kita sebagai hamba-Nya.

Jari-jemariku yang digerakkan untuk membelek helaian diari tadi terhenti pada satu muka surat yang aneh. Aku terkesima, akan tulisan di muka surat itu, macam bukan tulisanku. Pelik, macam mana sebelum ini,aku boleh tak perasan. Lalu muzik “suspense” dimainkan sendiri oleh mulutku, “Jeng.Jeng..Jeng..”.Aku kerutkan dahi, dan mengarahkan sel-sel otakku bekerja walaupun waktu rehat. Nah! Aku sudah ingat. Aku pernah kehilangan diari ini baru-baru ini sewaktu bos tempat kerja aku ni arahkan aku berpindah pejabat. Nak ubah suai tempat kerja sempena tahun baru katanya. Diari kesayangan aku tercicir sewaktu aku pindahkan barang. Tetapi telah dijumpai oleh Kak Leha, tukang sapu di sini. Nasib baik aku ada letak nama. Tapi tak kan ini tulisan Kak Leha kot? Dia tu lurus orangnya, barang-barang pejabat ni, tak terusik langsung kalau dia buat kerja. Emm… jadi siapakah gerangan yang berani mencoret kata-kata di buku hamba ini!

Bukan aku marah, tapi kata-katanya indah sekali, hampir tenggelam semua kata-kataku yang lain dek kata-katanya yang begitu mempersona dan menyentuh jiwa. Sehingga karyaku yang lain  mengucup umpama daun semalu dengan kehadiran bait-baitnya di diari azimatku ini. Aku nekad untuk cari siapakah penulisnya.Pada hari itu, aku bekerja dalam keadaan tidak tenang. Sungguhpun jari-jemari laju menyiap kertas kerja yang diamanahkan tetapi fikiran melayang ke awangan.  Bagai kapal layar tanpa kemudi, hanya mengikut desakan angin. Namun pelayaran ini hendak tak hendak harus diteruskan.Tamat waktu kerja, laju aku ke kereta di ruangan parkir. “Jumpa esok ye.. Din”,sapa Kak Ros dan Kak Gee, teman pejabatku. Aku hanya melemparkan senyuman dan anggukkan kepala. Bila melabuhkan diri dalam kereta dan menghidupkan enjin, “Allah”. Terlupa bekal sediaan isteriku tertinggal di atas meja kerja. Lantas aku keluar dari kereta dan menutup pintu kereta. “Ya Allah!” Kunci kereta tertinggal pula dalam kereta. Aduh! Sungguh pantas ia berlaku, di luar kawalanku. Sungguh, hamba-Mu ini terlalu lemah ya Allah.

Di ruangan parkir itu,suasana sunyi dan sepi. Semua kawan-kawan dah pulang. Mungkin masih dalam perjalanan dan tak sabar menemu keluarga di rumah. Laju mereka pulang macam lipas kudung. Kalau datang kerja lambat pula, macam kura-kura. Termasuklah aku pun. Begitulah lumrah kami si pengemis rezki Illahi di tengah kota metropolitan ini.

Ku lupakan seketika tentang hal keretaku dan kunci kereta tadi. Aku percaya ada jalan penyelesaianya nanti. Namun benakku, masih tertarik untuk memikirkan misteri diariku tadi. Sambil ku ayun langkah dengan longlai masuk semula ke pejabat untuk mengambil bekal yang tertinggal, fikiran tidak behenti memikirkannya. Oh! Tak tercapai rasanya dek akal. Siapakah? Mana mungkin rakan pejabatku, mereka sibuk dengan kerja masing-masing. Tak ambil kisah tentang hal-hal macam ini. Kalu ya pun, kata-katanya indah sekali. Aku ingin sekali tahu tangan siapa yang megukir kata-kata indah itu!

Seusai aku mengambil bekal makanan yang tertinggal, aku bergerak ke ruangan parkir kereta kulihat makanan dalam bekal ini tidak aku usik tadi, elok lagi. Tetapi dalam keadaan yang serba tak kena begini, tak terasa oleh tekakku untuk menelannya. Ini kalau aku bawa balik dengan keadaan begini, mau tak sedih isteriku. Penat dia bangun pagi masakkan aku nasi dan ayam masak merah kegemaran aku ini. Isteri aku itu dahla hati tisu, tak pasal-pasal merajuk pula. Cukupla bala untuk hari ini. “Baik aku buang sahaja dalam tong sampah, habis cerita” .Bisik hati sanubariku”.

Sedang aku mengarahkan jasadku ke tong sampah berhampiran untuk membuang makanan ini, aku terpandang seekor kucing. Comelnya kucing itu. Aku memang seorang penggemar kucing. Mataku mengekori mana kucing itu pergi. Bukan apa, sekadar menghiburkan hatiku yang sedang gundah-gulana ini. Tiba-tiba, “Allahuakhbar!” kucing itu berhenti, duduk bersipuh di sisi seorang pengemis yang sedang tidur beralaskan kotak di sebuah kali lima.

Kecomelan kucing itu tidak menarik hatiku lagi. Sayu melihat pengemis itu yang tidak berbaju dan tulang rusuknya jelas kelihatan. Beberapa langkah lagi hendak aku sampai ke ruangan tong sampah. Mungkin ini rezki pak cik pengemis tu. Aku menghampirinya, kulihat satu cawan plastik yang berisi beberapa keping duit syiling. Tak cukup hendak membeli sebotol air pun duit yang terkumpul itu. Mungkin hanya itu rezkinya hari ini. Dia tersedar dari tidurnya dan memandangku dengan pandangan sayu dan tak bermaya. Hatiku sebak, lalu menghulurkan bekal sediaan isteriku kepadanya. Dia bangkit duduk dan menggapai pemberiaanku. Aku cuba berbicara dengannya, tetapi dia hanya diam membisu.

“Meow..Meow..Meow”, terdengar suara kucing. Rupanya suara kucing tadi, seolah-olah menyatakan sesuatu kepadaku. Kucing itu berada agak jauh di suatu sudut kaki lima tempat pak cik pengemis itu beradu.Pelik, bila masa pulak, kucing itu pergi ke sana. Tadi elok je baring atas kotak pak cik ni.Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 petang. Hari pun dan semakin gelap. Lampu kalimantan di ruangan parkir mula terhidup secara automatik untuk menggantikan sang suria yang sudah ingin melabuhkan tirainya. Aku meninggalkan pak cik itu dengan lafaz “Assalamulaikum pak cik”, walaupun dia masih terdiam kaku. Sempat kumasukkan beberapa keping wang kertas di dalam beg plastik bekal makanan aku tadi. Aku tak tahu berapa jumlahnya,namun aku harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantunya.

Sudah masuk waktu maghrib, terdengar suara azan dari surau berdekatan  bersama sahutan bunyi kenderaan orang-orang pulang dari kerja di jalan raya.Ditambah pula  kicauan burung-burung kota juga meriuhkan trafik di udara. Aku keluar dari ruangan parkir menuju ke surau tersebut meninggalkan keretaku sendirian. “Kenapa la kau buat hal hari ni Combi!” .Bentak hatiku, geram dengan si Combi, nama gelaran kereta antikku tersebut.

Sesudah solat, aku berdoa semoga Allah mudahkan urusanku pada hari ini supaya aku dapat pulang ke rumah dengan selamat. Aku juga titipkan doa untuk ibu bapaku dan juga pak cik tadi.Aku termenung di atas hamparan sejadah, teringat kata-kata indah di diariku tadi.  Ayat pertama berbunyi, “Berlapis umpama cahaya atas cahaya datang dari minyak dan sumbu pelita” dan ayat kedua berbunyi, “Berlapis umpama gelap atas gelap datang dari laut dalam dan awan yang hitam”. Aku mendongak ke atas, terpandang lampu. Oh..silaunya.Aku tunduk dan pejamkan mata seketika.

“Pap!”.Bunyi orang menendang pintu surau. Tersedar aku dari lamunan. Kelihatan seorang anak muda sedang memangku seorang tua, bapanya mungkin. Kepala bapanya berbalut. “Maafkan saya encik”,anak muda itu meminta maaf melihat riak wajahku yang terkejut dengan bunyi tendangan pintu itu tadi. Mereka mengambil wuduk dan solat berjemaah. Bapanya nampak uzur hanya mampu solat duduk. Anak muda itu menjadi imam.Dia membaca potongan ayat dari surah An-Nur. Tiba-tiba, ya Allah! An-Nur itu maksudnya cahaya! Lantas aku mencapai tafsir Al-Quran di atas rak buku disampingku dan meneliti maksud surah itu. Helaian demi helaian kubaca dalam hati akan maksudnya sehingga terhenti di ayat ke-35 surah An-Nur. Nah! Inilah asal kata-kata indah tersebut. Rupanya dari Al-Quran. Patutlah amat indah dan mendalam maksudnya. Kata-kata itu berasal dari ayat ke-35 dan ayat ke-40 surah An-Nur. Air mata tiba-tiba membasahi pipiku. Aku mengucap syukur pada-Mu ya Allah, Kau datangkan ayat-ayat Mu buatku pada hari ini. Aku harap aku dikurniakan cahaya itu, wahai pemilik cahaya yang menerangi langit dan bumi.

Seusai anak muda itu solat, aku menegurnya. Dia menceritakan bapanya kemalangan dan baru sedar dari koma.Ingatan masih belum pulih. Bapanya hanya diam dan mendengar perbualan kami. Mereka baru pulang dari hospital berhadapan surau tersebut. Aku nasihatkan dia untuk berubat kampung untuk memulihkan ingatan bapanya. Aku ceritakan padanya,,beberapa tahun dahulu aku pernah terlibat dengan kemalangan dan terlantar di hospital. Aku hilang ingatan seketika kerana pendarahan teruk di kepala dan tangan kanan ku patah. “Jap!”, hatiku berbisik.Bicaraku terhenti, tangan kananku patah, bagaimana aku menulis ketika itu?. Oh ya, Allahamdullilah. Baru teringat aku cuba menulis kidal. Jadi, tulisan tadi itu memang tulisan aku sendiri. Mungkin kesan dari kecederaan di kepala ketika itu, buat aku lupa.


Rahmat, anak muda tadi menawarkan diri untuk menghantar aku pulang setelah aku ceritakan hal kereta aku tadi. Allahamdulilah, syukur. Dalam perjalanan ke rumah. Terdetik di hati, apa yang berlaku padaku hari ini besar maknanya. Rasulullah SAW pernah bersabda; “Hikmah itu adalah barang yang hilang milik orang yang beriman. Di mana saja ia menemukannya, maka ambillah”.Sungguhpun aku sudah tahu pemilik kalam indah di diari itu, aku tetap akan mencari-Nya! Ya rabbi.