Tajuk : Kalam Hikmah
Penulis : Hafizuddin Mustapa
“Din!”
Farid memanggil namaku dari jauh. “Tak pergi rehat ke?” ,tanya
si Farid, rakan pejabatku. “Dok kot, mu gi dulu la, aku bowok bekal hari ni”,lalu
dia melulu ke pintu keluar dengan rakan-rakan yang lain. Begitulah gelagat
rakanku, soalan sama ditanya setiap hari, walaupun dia sudah tahu jawapanku.
Tetapi, manalah tahu suatu hari aku terlupa bawa bekal kan? Ada logik juga
perbuatan Farid tu.
Masih kenyang
rasanya. Kata suara hatiku sambil memandang bekal yang dibuat isteriku di atas
meja. Lalu kubuka laci meja kerjaku dan mencapai buku kesayanganku iaitu sebuah
diari usang tetapi menyimpan seribu cerita tentang perjalanan hidupku suatu
ketika dulu. Sudah menjadi kebiasaanku, pada waktu-waktu rehat begini, aku suka
membelek-belek helaian diari lamaku. Kata orang, belajarlah dari semalam dan
peristiwa yang semalam akan berulang dan berulang tanpa kita sedari. Itulah
resam dunia. Mungkin suatu peristiwa itu berbeza tapi asbabnya tetap sama iaitu
untuk menguji kita sebagai hamba-Nya.
Jari-jemariku yang
digerakkan untuk membelek helaian diari tadi terhenti pada satu muka surat yang
aneh. Aku terkesima, akan tulisan di muka surat itu, macam bukan tulisanku. Pelik,
macam mana sebelum ini,aku boleh tak perasan. Lalu muzik “suspense” dimainkan
sendiri oleh mulutku, “Jeng.Jeng..Jeng..”.Aku kerutkan dahi, dan mengarahkan
sel-sel otakku bekerja walaupun waktu rehat. Nah! Aku sudah ingat. Aku pernah
kehilangan diari ini baru-baru ini sewaktu bos tempat kerja aku ni arahkan aku
berpindah pejabat. Nak ubah suai tempat kerja sempena tahun baru katanya. Diari
kesayangan aku tercicir sewaktu aku pindahkan barang. Tetapi telah dijumpai
oleh Kak Leha, tukang sapu di sini. Nasib baik aku ada letak nama. Tapi tak kan
ini tulisan Kak Leha kot? Dia tu lurus orangnya, barang-barang pejabat ni, tak
terusik langsung kalau dia buat kerja. Emm… jadi siapakah gerangan yang berani mencoret kata-kata di buku hamba
ini!
Bukan aku marah,
tapi kata-katanya indah sekali, hampir tenggelam semua kata-kataku yang lain
dek kata-katanya yang begitu mempersona dan menyentuh jiwa. Sehingga karyaku
yang lain mengucup umpama daun semalu
dengan kehadiran bait-baitnya di diari azimatku ini. Aku nekad untuk cari
siapakah penulisnya.Pada hari itu, aku bekerja dalam keadaan tidak tenang.
Sungguhpun jari-jemari laju menyiap kertas kerja yang diamanahkan tetapi
fikiran melayang ke awangan. Bagai kapal
layar tanpa kemudi, hanya mengikut desakan angin. Namun
pelayaran ini hendak tak hendak harus diteruskan.Tamat waktu kerja, laju aku ke
kereta di ruangan parkir. “Jumpa esok ye.. Din”,sapa Kak Ros dan Kak Gee, teman
pejabatku. Aku hanya melemparkan senyuman dan anggukkan kepala. Bila melabuhkan
diri dalam kereta dan menghidupkan enjin, “Allah”. Terlupa bekal sediaan
isteriku tertinggal di atas meja kerja. Lantas aku keluar dari kereta dan menutup pintu kereta. “Ya Allah!” Kunci
kereta tertinggal pula dalam kereta. Aduh! Sungguh pantas ia berlaku, di luar
kawalanku. Sungguh, hamba-Mu ini terlalu lemah ya Allah.
Di ruangan parkir
itu,suasana sunyi dan sepi. Semua kawan-kawan dah
pulang. Mungkin masih dalam perjalanan dan tak sabar menemu keluarga di rumah.
Laju mereka pulang macam lipas kudung. Kalau datang kerja lambat pula, macam
kura-kura. Termasuklah aku
pun. Begitulah lumrah kami si pengemis rezki Illahi di tengah kota metropolitan
ini.
Ku lupakan seketika tentang hal keretaku
dan kunci kereta tadi. Aku percaya
ada jalan penyelesaianya nanti. Namun benakku, masih tertarik untuk memikirkan
misteri diariku tadi. Sambil ku ayun langkah dengan longlai masuk semula ke
pejabat untuk mengambil bekal yang tertinggal, fikiran tidak behenti
memikirkannya. Oh! Tak tercapai rasanya dek akal. Siapakah? Mana mungkin rakan
pejabatku, mereka sibuk dengan kerja masing-masing. Tak ambil kisah tentang
hal-hal macam ini. Kalu ya pun, kata-katanya indah sekali. Aku ingin sekali
tahu tangan siapa yang megukir kata-kata indah itu!
Seusai aku
mengambil bekal makanan yang tertinggal, aku bergerak ke ruangan parkir kereta kulihat
makanan dalam bekal ini tidak aku usik tadi, elok lagi. Tetapi dalam keadaan
yang serba tak kena begini, tak terasa oleh tekakku untuk menelannya. Ini kalau
aku bawa balik dengan keadaan begini, mau tak sedih isteriku. Penat dia bangun
pagi masakkan aku nasi dan ayam masak merah kegemaran aku ini. Isteri aku itu
dahla hati tisu, tak pasal-pasal merajuk pula. Cukupla bala untuk hari ini. “Baik
aku buang sahaja dalam tong sampah, habis cerita” .Bisik hati sanubariku”.
Sedang aku mengarahkan jasadku ke tong
sampah berhampiran untuk membuang makanan ini, aku terpandang seekor kucing.
Comelnya kucing itu. Aku memang seorang penggemar kucing. Mataku mengekori mana
kucing itu pergi. Bukan apa, sekadar menghiburkan hatiku yang sedang
gundah-gulana ini. Tiba-tiba, “Allahuakhbar!” kucing itu berhenti, duduk
bersipuh di sisi seorang pengemis yang sedang tidur beralaskan kotak di sebuah
kali lima.
Kecomelan kucing itu tidak menarik
hatiku lagi. Sayu melihat pengemis itu yang tidak berbaju dan tulang rusuknya
jelas kelihatan. Beberapa langkah lagi hendak aku sampai ke ruangan tong sampah. Mungkin ini rezki pak cik pengemis tu. Aku
menghampirinya, kulihat satu cawan plastik yang berisi beberapa keping duit
syiling. Tak cukup hendak membeli sebotol air pun duit yang terkumpul itu.
Mungkin hanya itu rezkinya hari ini. Dia tersedar dari tidurnya dan memandangku
dengan pandangan sayu dan tak bermaya. Hatiku sebak, lalu menghulurkan bekal
sediaan isteriku kepadanya. Dia bangkit duduk dan menggapai pemberiaanku. Aku
cuba berbicara dengannya, tetapi dia hanya diam membisu.
“Meow..Meow..Meow”, terdengar suara
kucing. Rupanya suara kucing tadi, seolah-olah menyatakan sesuatu kepadaku.
Kucing itu berada agak jauh di suatu sudut kaki lima tempat pak cik pengemis
itu beradu.Pelik, bila masa pulak, kucing itu pergi ke sana. Tadi elok je
baring atas kotak pak cik ni.Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 petang. Hari pun
dan semakin gelap. Lampu kalimantan di ruangan parkir mula terhidup secara
automatik untuk menggantikan sang suria yang sudah ingin melabuhkan tirainya. Aku
meninggalkan pak cik itu dengan lafaz “Assalamulaikum pak cik”, walaupun dia
masih terdiam kaku. Sempat kumasukkan beberapa keping wang kertas di dalam beg
plastik bekal makanan aku tadi. Aku tak tahu berapa jumlahnya,namun aku harap
sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantunya.
Sudah masuk waktu maghrib, terdengar
suara azan dari surau berdekatan bersama
sahutan bunyi kenderaan orang-orang pulang dari kerja di jalan raya.Ditambah
pula kicauan burung-burung kota juga meriuhkan
trafik di udara. Aku keluar dari ruangan parkir menuju ke surau tersebut
meninggalkan keretaku sendirian. “Kenapa la kau buat hal hari ni Combi!” .Bentak
hatiku, geram dengan si Combi, nama gelaran kereta antikku tersebut.
Sesudah solat, aku berdoa semoga Allah
mudahkan urusanku pada hari ini supaya aku dapat pulang ke rumah dengan
selamat. Aku juga titipkan doa untuk ibu bapaku dan juga pak cik tadi.Aku
termenung di atas hamparan sejadah, teringat kata-kata indah di diariku
tadi. Ayat pertama berbunyi, “Berlapis
umpama cahaya atas cahaya datang dari minyak dan sumbu pelita” dan ayat kedua
berbunyi, “Berlapis umpama gelap atas gelap datang dari laut dalam dan awan
yang hitam”. Aku mendongak ke atas, terpandang lampu. Oh..silaunya.Aku tunduk
dan pejamkan mata seketika.
“Pap!”.Bunyi orang menendang pintu surau.
Tersedar aku dari lamunan. Kelihatan seorang anak muda sedang memangku seorang
tua, bapanya mungkin. Kepala bapanya berbalut. “Maafkan saya encik”,anak muda
itu meminta maaf melihat riak wajahku yang terkejut dengan bunyi tendangan
pintu itu tadi. Mereka mengambil wuduk dan solat berjemaah. Bapanya nampak uzur
hanya mampu solat duduk. Anak muda itu menjadi imam.Dia membaca potongan ayat
dari surah An-Nur. Tiba-tiba, ya Allah! An-Nur itu maksudnya cahaya! Lantas aku
mencapai tafsir Al-Quran di atas rak buku disampingku dan meneliti maksud surah
itu. Helaian demi helaian kubaca dalam hati akan maksudnya sehingga terhenti di
ayat ke-35 surah An-Nur. Nah! Inilah asal kata-kata indah tersebut. Rupanya
dari Al-Quran. Patutlah amat indah dan mendalam maksudnya. Kata-kata itu
berasal dari ayat ke-35 dan ayat ke-40 surah An-Nur. Air mata tiba-tiba
membasahi pipiku. Aku mengucap syukur pada-Mu ya Allah, Kau datangkan ayat-ayat
Mu buatku pada hari ini. Aku harap aku dikurniakan cahaya itu, wahai pemilik
cahaya yang menerangi langit dan bumi.
Seusai anak muda itu solat, aku
menegurnya. Dia menceritakan bapanya kemalangan dan baru sedar dari koma.Ingatan
masih belum pulih. Bapanya hanya diam dan mendengar perbualan kami. Mereka baru
pulang dari hospital berhadapan surau tersebut. Aku nasihatkan dia untuk
berubat kampung untuk memulihkan ingatan bapanya. Aku ceritakan padanya,,beberapa
tahun dahulu aku pernah terlibat dengan kemalangan dan terlantar di hospital.
Aku hilang ingatan seketika kerana pendarahan teruk di kepala dan tangan kanan
ku patah. “Jap!”, hatiku berbisik.Bicaraku terhenti, tangan kananku patah,
bagaimana aku menulis ketika itu?. Oh ya, Allahamdullilah. Baru teringat aku
cuba menulis kidal. Jadi, tulisan tadi itu memang tulisan aku sendiri. Mungkin
kesan dari kecederaan di kepala ketika itu, buat aku lupa.
Rahmat, anak muda tadi menawarkan diri
untuk menghantar aku pulang setelah aku ceritakan hal kereta aku tadi.
Allahamdulilah, syukur. Dalam perjalanan ke rumah. Terdetik di hati, apa yang
berlaku padaku hari ini besar maknanya. Rasulullah SAW pernah bersabda; “Hikmah
itu adalah barang yang hilang milik orang yang beriman. Di mana saja ia
menemukannya, maka ambillah”.Sungguhpun aku sudah tahu pemilik kalam indah di
diari itu, aku tetap akan mencari-Nya! Ya rabbi.